Kisah Nabi Muhammad saw.
Semasa umat manusia dalam kegelapan dan suasana jahiliyyah,
lahirlah seorang bayi pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah. Bayi
yang dilahirkan bakal membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban
manusia. Bapa bayi tersebut bernama Abdullah bin Abdul Mutallib yang
telah wafat sebelum baginda dilahirkan iaitu sewaktu baginda 7 bulan
dalam kandungan ibu. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Kehadiran bayi
itu disambut dengan penuh kasih sayang dan dibawa ke ka’abah, kemudian
diberikan nama Muhammad, nama yang belum pernah wujud sebelumnya.
Selepas itu Muhammad disusukan selama beberapa hari oleh Thuwaiba,
budak suruhan Abu Lahab sementara menunggu kedatangan wanita dari Banu
Sa’ad. Adat menyusukan bayi sudah menjadi kebiasaan bagi
bangsawan-bangsawan Arab di Makkah. Akhir tiba juga wanita dari Banu
Sa’ad yang bernama Halimah bin Abi-Dhuaib yang pada mulanya tidak mahu
menerima baginda kerana Muhammad seorang anak yatim. Namun begitu,
Halimah membawa pulang juga Muhammad ke pedalaman dengan harapan Tuhan
akan memberkati keluarganya. Sejak diambilnya Muhammad sebagai anak
susuan, kambing ternakan dan susu kambing-kambing tersebut semakin
bertambah. Baginda telah tinggal selama 2 tahun di Sahara dan sesudah
itu Halimah membawa baginda kembali kepada Aminah dan membawa pulang
semula ke pedalaman.
Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad
Pada usia dua tahun, baginda didatangi oleh dua orang malaikat yang
muncul sebagai lelaki yang berpakaian putih. Mereka bertanggungjawab
untuk membedah Muhammad. Pada ketika itu, Halimah dan suaminya tidak
menyedari akan kejadian tersebut. Hanya anak mereka yang sebaya
menyaksikan kedatangan kedua malaikat tersebut lalu mengkhabarkan kepada
Halimah. Halimah lantas memeriksa keadaan Muhammad, namun tiada kesan
yang aneh ditemui.
Muhammad tinggal di pedalaman bersama keluarga Halimah selama lima
tahun. Selama itu baginda mendapat kasih sayang, kebebasan jiwa dan
penjagaan yang baik daripada Halimah dan keluarganya. Selepas itu
baginda dibawa pulang kepada datuknya Abdul Mutallib di Makkah.
Datuk baginda, Abdul Mutallib amat menyayangi baginda. Ketika Aminah
membawa anaknya itu ke Madinah untuk bertemu dengan saudara-maranya,
mereka ditemani oleh Umm Aiman, budak suruhan perempuan yang
ditinggalkan oleh bapa baginda. Baginda ditunjukkan tempat wafatnya
Abdullah serta tempat dia dikuburkan.
Sesudah sebulan mereka berada di Madinah, Aminah pun bersiap sedia
untuk pulang semula ke Makkah. Dia dan rombongannya kembali ke Makkah
menaiki dua ekor unta yang memang dibawa dari Makkah semasa mereka
datang dahulu. Namun begitu, ketika mereka sampai di Abwa, ibunya pula
jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia lalu dikuburkan di situ juga.
Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh Umm Aiman dengan perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai seorang anak yatim piatu. Tinggallah baginda dengan datuk yang dicintainya dan bapa-bapa saudaranya.
Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh Umm Aiman dengan perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai seorang anak yatim piatu. Tinggallah baginda dengan datuk yang dicintainya dan bapa-bapa saudaranya.
“Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia
melindungimu. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia
memberikan petunjuk” (Surah Ad-Dhuha, 93: 6-7)
Abdul Mutallib Wafat
Kegembiraannya bersama datuk baginda tidak bertahan lama. Ketika
baginda berusia lapan tahun, datuk baginda pula meninggal dunia.
Kematian Abdul Mutallib menjadi satu kehilangan besar buat Bani Hashim.
Dia mempunyai keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang bernas,
terhormat dan berpengaruh dikalangan orang Arab. Dia selalu menyediakan
makanan dan minuman kepada para tetamu yang berziarah dan membantu
penduduk Makkah yang dalam kesusahan.
Muhammad diasuh oleh Abu Talib
Muhammad diasuh oleh Abu Talib
Selepas kewafatan datuk baginda, Abu Talib mengambil alih tugas
bapanya untuk menjaga anak saudaranya Muhammad. Walaupun Abu Talib
kurang mampu berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai
perasaan yang paling halus dan terhormat di kalangan orang-orang
Quraisy.Abu Talib menyayangi Muhammad seperti dia menyayangi
anak-anaknya sendiri. Dia juga tertarik dengan budi pekerti Muhammad
yang mulia.
Pada suatu hari, ketika mereka berkunjung ke Syam untuk berdagang
sewaktu Muhammad berusia 12 tahun, mereka bertemu dengan seorang rahib
Kristian yang telah dapat melihat tanda-tanda kenabian pada baginda.
Lalu rahib tersebut menasihati Abu Talib supaya tidak pergi jauh ke
daerah Syam kerana dikhuatiri orang-orang Yahudi akan menyakiti baginda
sekiranya diketahui tanda-tanda tersebut. Abu Talib mengikut nasihat
rahib tersebut dan dia tidaak banyak membawa harta dari perjalanan
tersebut. Dia pulang segera ke Makkah dan mengasuh anak-anaknya yang
ramai. Muhammad juga telah menjadi sebahagian dari keluarganya. Baginda
mengikut mereka ke pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar sajak-sajak
oleh penyair-penyair terkenal dan pidato-pidato oleh penduduk Yahudi
yang anti Arab.
Baginda juga diberi tugas sebagai pengembala kambing. Baginda
mengembala kambing keluarganya dan kambing penduduk Makkah. Baginda
selalu berfikir dan merenung tentang kejadian alam semasa menjalankan
tugasnya. Oleh sebab itu baginda jauh dari segala pemikiran manusia
nafsu manusia duniawi. Baginda terhindar daripada perbuatan yang
sia-sia, sesuai dengan gelaran yang diberikan iaitu “Al-Amin”.
Selepas baginda mula meningkat dewasa, baginda disuruh oleh bapa
saudaranya untuk membawa barang dagangan Khadijah binti Khuwailid,
seorang peniaga yang kaya dan dihormati. Baginda melaksanakan tugasnya
dengan penuh ikhlas dan jujur. Khadijah amat tertarik dengan perwatakan
mulia baginda dan keupayaan baginda sebagai seorang pedagang. Lalu dia
meluahkan rasa hatinya untuk berkahwin dengan Muhammad yang berusia 25
tahun ketika itu. Wanita bangsawan yang berusia 40 tahun itu sangat
gembira apabila Muhammad menerima lamarannya lalu berlangsunglah
perkahwinan mereka berdua. Bermulalah lembaran baru dalam hidup Muhammad
dan Khadijah sebagai suami isteri.
Penurunan Wahyu Pertama
Pada usia 40 tahun, Muhammad telah menerima wahyu yang pertama dan
diangkat sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu, baginda berada di Gua
Hira’ dan sentiasa merenung dalam kesunyian, memikirkan nasib umat
manusia pada zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril menyapa dan
menyuruhnya membaca ayat quran yang pertama diturunkan kepada Muhammad.
“Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan” (Al-’Alaq, 96: 1)
Rasulullah pulang dengan penuh rasa gementar lalu diselimuti oleh
Khadijah yang cuba menenangkan baginda. Apabila semangat baginda mulai
pulih, diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang telah berlaku.
Kemudian baginda mula berdakwah secara sembunyi-sembunyi bermula
dengan kaum kerabatnya untuk mengelakkan kecaman yang hebat daripada
penduduk Makkah yang menyembah berhala. Khadijah isterinya adalah wanita
pertama yang mempercayai kenabian baginda. Manakala Ali bin Abi Talib
adalah lelaki pertama yang beriman dengan ajaran baginda.Dakwah yang
sedemikian berlangsung selama tiga tahun di kalangan keluarganya sahaja.
Dakwah Secara Terang-terangan
Setelah turunnya wahyu memerintahkan baginda untuk berdakwah secara
terang-terangan, maka Rasulullah pun mula menyebarkan ajaran Islam
secara lebih meluas.
“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang
diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang
musyrik.” (Al-Hijr, 15:94)
Namun begitu, penduduk Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa
oleh baginda. Mereka memusuhi baginda dan para pengikut baginda termasuk
Abu Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia
selalu melindungi anak saudaranya itu namun dia sangat risau akan
keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari kaum
Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah seterusnya.
Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud:
“Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan diletakkan di tangan
kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini,
aku tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala
penjuru atau aku binasa kerananya”
Baginda menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan
ejekan daripada penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati
untuk beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah sahaja yang menerima
tentangan yang sedemikian, malah para sahabatnya juga turut merasai
penderitaan tersebut seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang menerima
siksaan yang berat.
Kewafatan Khadijah dan Abu Talib
Rasulullah amat sedih melihat tingkahlaku manusia ketika itu terutama
kaum Quraisy kerana baginda tahu akan akibat yang akan diterima oleh
mereka nanti. Kesedihan itu makin bertambah apabila isteri kesayangannya
wafat pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak
pernah jemu membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan jiwa serta
hartanya untuk Islam. Dia juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di
saat baginda dirundung kesedihan.
Pada tahun itu juga bapa saudara baginda Abu Talib yang mengasuhnya
sejak kecil juga meninggal dunia. Maka bertambahlah kesedihan yang
dirasai oleh Rasulullah kerana kehilangan orang-orang yang amat
disayangi oleh baginda.
Penghijrahan Ke Madinah
Tekanan daripada orang-orang kafir terhadap perjuangan Rasulullah
semakin hebat selepas pemergian isteri dan bapa saudara baginda. Maka
Rasulullah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah berikutan
ancaman daripada kafir Quraisy untuk membunuh baginda.
Rasulullah disambut dengan meriahnya oleh para penduduk Madinah.
Mereka digelar kaum Muhajirin manakala penduduk-penduduk Madinah
dipanggil golongan Ansar. Seruan baginda diterima baik oleh kebanyakan
para penduduk Madinah dan sebuah negara Islam didirikan di bawah
pimpinan Rasulullas s.a.w sendiri.
Negara Islam Madinah
Negara Islam yang baru dibina di Madinah mendapat tentangan daripada
kaum Quraisy di Makkah dan gangguan dari penduduk Yahudi serta kaum
bukan Islam yang lain. Namun begitu, Nabi Muhammad s.a.w berjaya juga
menubuhkan sebuah negara Islam yang mengamalkan sepenuhnya pentadbiran
dan perundangan yang berlandaskan syariat Islam. Baginda dilantik
sebagai ketua agama, tentera dan negara. Semua rakyat mendapat hak yang
saksama. Piagam Madinah yang merupakan sebuah kanun atau perjanjian
bertulis telah dibentuk. Piagam ini mengandungi beberapa fasal yang
melibatkan hubungan antara semua rakyat termasuk kaum bukan Islam dan
merangkumi aspek politik, sosial, agama, ekonomi dan ketenteraan.
Kandungan piagam adalah berdasarkan wahyu dan dijadikan dasar
undang-undang Madinah.
Islam adalah agama yang mementingkan kedamaian. Namun begitu, aspek
pertahanan amat penting bagi melindungi agama, masyarakat dan negara.
Rasulullah telah menyertai 27 kali ekspedisi tentera untuk mempertahan
dan menegakkan keadilan Islam. Peperangan yang ditempuhi baginda ialah
Perang Badar (623 M/2 H), Perang Uhud (624 M/3 H), Perang Khandak (626
M/5 H) dan Perang Tabuk (630 M/9 H). Namun tidak semua peperangan
diakhiri dengan kemenangan.
Pada tahun 625 M/ 4 Hijrah, Perjanjian Hudaibiyah telah dimeterai
antara penduduk Islam Madinah dan kaum Musyrikin Makkah. Maka dengan
itu, negara Islam Madinah telah diiktiraf. Nabi Muhammad s.a.w. juga
telah berjaya membuka semula kota Makkah pada 630 M/9 H bersama dengan
10 000 orang para pengikutnya.
Perang terakhir yang disertai oleh Rasulullah ialah Perang Tabuk dan
baginda dan pengikutnya berjaya mendapat kemenangan. Pada tahun
berikutnya, baginda telah menunaikan haji bersama-sama dengan 100 000
orang pengikutnya. Baginda juga telah menyampaikan amanat baginda yang
terakhir pada tahun itu juga. Sabda baginda yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhan kamu Maha Esa dan
kamu semua adalah daripada satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam a.s.
Semulia-mulia manusia di antara kamu di sisi Allah s.w.t. ialah orang
yang paling bertakwa. Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara dan
kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan
dua perkara itu, iaitu kitab al-Quran dan Sunnah Rasulullah.”
Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w
Baginda telah wafat pada bulan Jun tahun 632 M/12 Rabiul Awal tahun
11 Hijrah. Baginda wafat setelah selesai melaksanakan tugasnya sebagai
rasul dan pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke jalan yang
benar dan menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berilmu dan
berkebolehan. Rasulullah adalah contoh terbaik bagi semua manusia
sepanjang zaman.
0 komentar:
Posting Komentar